Sunday, November 1, 2015

Taman Terluka

Izinkan aku dengarkan sebuah cerita luka bangsa,
Seperti sembilu halus menusuk,
Tatkala nafiri menggetar angin tamadun,
Sebuah masa lalu yang kerdil,
Dalam kelongsong peristiwa,
Tiba-tiba menjerit kesakitan,
Menatap lipatan masa lalu.

Dan kekinian,
Dalam hari-hari,
Berpayung ketuanan merdeka,
Langit Islam terasa cerah,
Meski keliru antara,
Hakiki,madani dan hadhari,
Yang terbit dari selapis cahaya.

Kemudian,
Menghimpun dan memelihara,
Menghijau suburkan,
Khazanah ibunda,
Di bumi berdaulat,
Yang teruji ketawa airmata,
Dan jerih bahagia.

Menatap daunan hari,
Yang berguguran,
Lewat musim seni ini,
Aku sang kerdil itu dirasuk keliru,
Antara kebenaran dan kebatilan,
Antara falsafah dan kemanusiaan,
Antara taqwa dan jihad,
Hingga segugus juang,
Yang harum merimbun,
Tiba-tiba bertukar menjadi,
Secangkir kepedihan,
Yang sajiannya ratusan pahlawan,
Terbujur tanpa nisan pusara,
Saat terkesima di bawah lengkung pelangi,
Selepas berderai hujan merdeka,
Ingatanku kepadamu,
Kembali menyegar,
Dalam mimpi demi mimpi,
Sesegar tulang belulang,
Yang terbungkus indah,
Dalam lipatan jalur gemilang,
Dan akhirnya bungkusan,
Yang kutatap renung itu,
Sayang tak berharum mawar,
Tapi kau!
Kaku berbalut lentera luka.

Seusia perjalanan ini,
Temanku,
Lorong hidup dan denai insaniah,
Yang kulewati,
Sinarnya berubah gelap,
Di bawah purnama merdeka,
Bulanku menjadi gerhana,
Cahayanya berdegar,
Berdebar sengsara,
Meski merpati dan pungguk,
Riang berasmara di taman perkasihan.

Izinkan aku dendangi,
Irama gembira yang kita kecapi,
Hari ini,
Untuk mengubat luka masa lalu,
Yang bertahun kita,
Nikmati deritanya,
Juga bertahun membelenggu,
Tangis ayah bonda,
Hingga kesedihan seakan sebati,
Didalam diri,
Dan cacian seakan mengubati,
Maruah peribadi.

Hari ini,
Lewat rasa insaniah yang menggunung,
Usah kita tangisi sejarah yang hilang,
Yang memaknakan kesedihan,
Tetapi pandanglah langit berpelangi,
Yang bakal mewarnai,
Perjalanan abadi,
Penentu impian dan anganan,
Insani.

Mengertilah saudaraku,
Bahawa kekayaan dan kemewahan,
Bukan penentu kebahagiaan,
Fahamilah saudaraku,
Bahawa kesenangan dan darjat,
Bukan penentu kejayaan,
Fahamilah saudaraku,
Hanya ilmu dan bijaksana,
Adalah nurani cinta,
Yang penuh segar,
Di taman terluka ini.

Dan,
Sebelum aku pulang,
Sesudah gerhana itu,
Ku tulis bingkisan ini kepadamu,
Supaya kau menjadi,
Lebih bestari dan berani,
Mengubati derita dan luka bangsa,
Yang berpanjangan.

#pengucapanrohani

Nukilan:Shamsudin Othman

No comments:

Post a Comment