selendangmu mengibar di pantai,
menyambut tetamu pulau,
setiamu menjadi lagu,
nyanyian ombak pagi,
rambutmu menjadi jalur hitam,
terapung di laut malam,
airmatamu dingin embun,
jatuh di tujuh telaga,
dendam tujuh keturunan,
melengkung tujuh tanjung,
putihlah pulau ini,
disimbah darah suci,
Mahsuri,
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi,
kerana tanpamu,
Langkawi tidak sebegini.
kata orang Mahsuri tidak pernah hidup,
dia hanya bermula dengan khayalan seorang seniman,
pun kata orang Mahsuri pernah hidup,
tetapi bahasa seorang pencerita,
membuatnya lebih hidup daripada kehidupannya,
sastera yang mewarnai tanahair,
kerana tanpa Mahsuri,
Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi,
sastera membesarkan tanah air.
-ZURINAH HASSAN-
antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka
No comments:
Post a Comment