Friday, August 18, 2017

Alang-alang menggenggam bara,
Biar sampai jadi arang.

Sunday, April 23, 2017

Berat sungguh,
Rindu yang bukan kepalang.

Wednesday, April 19, 2017

Selain Hujan

Titisan itu,
bak mutiara,
gugur ke bumi,
menyegarkan,
memberi harapan,
mensucikan.

Petir dan guruh,
menyusul,
itulah iringan yang menyedarkan,
itulah sanggahan yang mirip,
bentakan,
bukan lagi anganan.

Thursday, March 2, 2017

Umpama Puisi Dan Lagu

Puisi,
baris-baris kata yang memaknakan rasa,
terungkap setia,
tidak pernah berdusta.

Lagu,
alunan irama yang menggetar rasa,
menjentik maruah dan peribadi,
hari yang mendung,
laksana sirna berpurnama terang.

Thursday, February 9, 2017

Perjalanan Yang Dicengkam Rindu PadaMu

Benarkah tanpa malam,
Siang akan menjadi kelam?

Tiap kali rindu datang mencengkam,
Kukembalikan seluruh kudratku,
Kepada Yang Maha Mencipta.

Tiap kali rindu itu mencipta duka,
Kukembalikan seluruh ingatanku,
Kepada Yang Maha Mengetahui.

Acapkali pula,
Semangat jadi luluh,
Pilihan jadi tidak bersuluh,
Tapi waktu tetap berlari,
Lalu berkejaranlah kami,
Kerana Kau Yang Maha Berkuasa,
Mencorakkan,
Memperindahkan,
Menemani kami,
Walau ke dunia mana sekalipun.

Usah sesekali Kau memalingkan,
PerhatianMu,
Ya Rabb.

Monday, January 30, 2017

Hati Yang Kau Miliki

Terima kasih Ya Rabb,
Kerana Kau selalu meminjamkan,
Setiap kekuatan,
Dan setiap ketabahan,
Buatku,
HambaMu yang ketiadaan,
HambaMu yang tidak pernah,
Punya apa-apa.

Kerana Kau aku masih di sini.

Biarkan mereka dengan tekad mereka,
Kerana Kau Yang Maha Mengetahui,
Setiap kerinduan yang berbisik,
Setiap kerinduan yang berbuih,
Setiap kerinduan yang terbaca,
Setiap kerinduan yang terbiar.

Friday, January 27, 2017

Memahami Dan Difahami

Kita tidak faham,
Tapi kita perlu memahami.
Kita tidak tahu,
Tapi kita perlu mengetahui.
Tidak perlu memeluk duka.
Kita percaya,
Dan kita perlu mpercayai.
Kita sakit,
Dan kita tidak betah menyakiti.
Kita resah,
Dan kita tidak gemar meresahkan.
Kita senang,
Lagi menyenangkan.
Kita faham,
Dan kita memahami.

Jadi?

Thursday, January 5, 2017

Hati Yang Terluka

Dengan darah dan airmata,
Kekalutan dunia terus bergelora,
Dengan suara dan pujangga,
Rintihan terus membara.

Bukan kuasa kita,
Bukan daya kita,
Bukan ihsan kita,
Bukan derita tidak dirasa.

Cuma belum dipelawa,
Cuma belum dipimpin,
Langkah kita,
Untuk berbakti kerana seagama.

Kalau derita itu umpama kertas,
Pasti ku usir ia,
Biar tenggelam di lautan dalam,
Kalau derita itu umpama air,
Pasti ku curahkan ia,
Ke tanah yang tandus,
Kalau derita itu umpama pasir,
Pasti ku tanamkn pepohon cemara,
Biar tenang jiwa yang mendatang.

Hati ini merintih,
Ikut sakit kerana mereka yang lara,
Hati ini rasa sedih,
Ikut sakit kerana sukar bicara,
Hati ini terasa rindu,
Mahu bersama mereka di sana.

Perjuangan kita sebenarnya sama,
Cuma kita di perbatasan yang berbeza.

Perjuangan kita sebenarnya sama,
Cuma semangat kita yang berbeza.

Maafkan aku,
Kerana gagal membantumu,
Di sana.

Maafkan aku,
Kerana kami belum mampu,
Meminjam rasa.